arena

Chelsea buat Arteta merah padam!

Oleh Reuters

CHELSEA membuat kebangkitan lewat permainan untuk mengatasi Arsenal 2-1 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama Mikel Arteta pada penampilan sulungnya di tempat sendiri sebagai jurulatih baru kelab utara London itu.

Pierre-Emerick Aubameyang memberikan pendahuluan buat tuan rumah pada m-13 tetapi kesilapan salah jangkaan penjaga gol Arsenal Bernd Leno membolehkan Jorginho menyamakan kedudukan selepas 83 minit perlawanan.

Tammy Abraham memastikan tiga mata buat Chelsea empat minit kemudian pada pertarungan derby London dicemari kekasaran selepas menyepak masuk bola melepasi celah kaki Leno.

Arsenal yang berada di tangga ke-12 bermula dengan penuh bersemangat memaksa skuad Frank Lampard yang kelihatan keletihan bekerja keras sehinggalah Aubameyang memecah kebuntuan melakukan tandukan akrobatik.

Lampard membawa masuk Jorginho selepas 34 minit dengan menukar formasi 3-4-3 kepada 4-3-3 seperti dilakukan pada Boxing Day menentang Southampton dan ia membantu pasukan pelawat menghidupkan suasana di Stadium Emirates.

Chelsea yang menghuni tangga keempat liga tewas lima daripada tujuh perlawanan mereka beraksi dengan baik pada separuh masa kedua sebelum kesilapan Leno menyebabkan Arteta masih tercari-cari kemenangan pertamanya selepas seri di Bournemouth.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 12:57am
d