arena

Chong Wei banyak bantu

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN beregu campuran negara, Goh Liu Ying mengakui Datuk Lee Chong Wei adalah orang penting dalam kariernya bersama Chan Peng Soon sehingga mereka mampu mencapai beberapa kejayaan termasuk meraih perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

Kelmarin Liu Ying menyampaikan ucapan khas buat Chong Wei pada perlawanan pertunjukan yang digelar ‘Grand Match’ di Arena of Stars, Genting Highlands.

“Anda adalah abang kepada kami semua. Anda juga mengajar kami haruslah berusaha untuk mencapai impian,” kata Liu Ying dalam ucapannya di hadapan 1,500 peminat badminton.

Dalam ucapan berkenaan pemain kelahiran Melaka itu menegaskan tiga perkara yang dititikberatkan Chong Wei sepanjang menjadi pemain badminton negara iaitu tekun berlatih, bertanggungjawab dan berkorban demi negara.

“Tekanan yang anda hadapi tidak dapat digambarkan. Terima kasih atas pengorbanan yang dilakukan Chong Wei. Anda harus sentiasa sihat dan itulah harapan kami semua,” kata Liu Ying menamatkan ucapannya.

Mengulas lanjut ketika dihubungi Arena Metro, pemain berusia 30 tahun itu mengakui dia dan Peng Soon mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Chong Wei selepas sudah banyak menabur bakti buat Malaysia.

“Dia (Chong Wei) selalu ada dan menjadi abang kepada kita semua. Saya harap dia sentiasa gembira dalam kehidupannya selepas ini. Itu paling penting,” kata Liu Ying semalam.

Perlawanan pertunjukan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran dua lagi bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Woon Khe Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Selain menghiburkan peminat badminton dengan aksi luar biasa dan kemahiran individu, acara berkenaan turut menyaksikan lelongan barangan Chong Wei, Peng Soon dan Liu Ying berbentuk raket serta baju.

Raket yang pernah diguna Chong Wei dibida sehingga RM40,000, manakala baju yang pernah dipakainya ketika menewaskan Lin Dan di separuh akhir Sukan Olimpik Rio pula mencecah RM24,888.

Acara berkenaan juga disertai perseorangan lelaki sensasi Indonesia, Jonatan Christie.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 6:00am
d