arena

Pentas terakhir Ratu Boling

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

RATU boling negara, Shalin Zulkifli, 41, membayangkan kemungkinan Sukan Sea Filipina 2019 adalah pentas terakhir bagi dirinya.

Menurutnya, ini kerana kemungkinan acara boling tidak dipertandingkan jika Vietnam atau Myanmar jadi tuan rumah, sekali gus reda kekal sebagai atlet Malaysia kedua memenangi pingat emas terbanyak di Sukan Sea selepas legenda renang, Nurul Huda Abdullah.

"Saya tidak tahu, mungkin tiada lagi (bersama skuad boling negara). Dua Sukan Sea (di Vietnam dan Kemboja) mungkin tiada acara boling, jadi saya akan jadi penyokong kepada rakan sepasukan," katanya ditemui pada Kejohanan Boling Piala Shalin ke-13 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Beliau berkata, dirinya reda biarpun misinya untuk memecahkan rekod berkenaan tidak kesampaian.

"Tiada rezeki. Yang saya kejar pingat emas terbanyak di Sukan Sea dan bukan kejohanan lain. Saya rasa tidak mungkin (atasi rekod) kerana empat tahun lagi saya dah berusia 45 tahun. Apa saja boleh berlaku tapi buat masa ini saya rasa tidak dan kekal nombor dua (pemenang pingat emas terbanyak di Sukan Sea)," katanya.

Terdahulu, Shalin menetapkan misi peribadi untuk menjadi atlet Malaysia paling banyak memenangi pingat emas dalam Sukan Sea selain membantu pasukan mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2015 dan 2017 (lima sepasukan).

Dia hanya memerlukan tiga pingat emas lagi untuk memintas pencapaian Nurul Huda yang memenangi 22 pingat emas Sukan Sea dari 1985 hingga 1989.

Namun, penyertaannya dalam Sukan Sea ketujuhnya itu berakhir hampa dengan sekadar meraih pingat perak acara berpasukan wanita dan kekal dengan koleksi 20 pingat emas sejak penampilan pertama dalam edisi di Jakarta pada 1993.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 6:05am
d