arena

Jaringan Mane kukuh cengkaman Liverpool

Oleh Reuters

JARINGAN kontroversi Sadio Mane sudah cukup buat pendahulu Liga Perdana, Liverpool menang 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam aksi sengit di Anfield, awal pagi tadi sekali gus melebarkan jurang 13 mata di depan pencabar terdekat.

Mane yang mengharungi perlawanan ke-150 untuk Reds memecah kebuntuan tiga minit sebelum rehat tetapi jaringan itu terpaksa diteliti Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Adam Lallana dikatakan menyentuh bola menggunakan tangannya terlebih dahulu.

Namun, VAR mendapati bola hanya mengenai bahu pemain tengah itu dan jaringan berkenaan dibenarkan pengadil, Anthony Taylor.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool muncul pasukan ketiga di Liga Perdana mengharungi 50 perlawanan tanpa kalah selain menamatkan saingan 2019 tanpa kalah di gelanggang sendiri dalam semua kejohanan.

Liverpool kini mengutip 55 mata daripada 19 perlawanan manakala Wolves di kedudukan ketujuh dan ketinggalan tujuh mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.

Wolves yang tewas 15 daripada 17 perlawanan liga dalam kunjungannya ke Anfield melakukan empat pertukaran berbanding skuad yang mengejutkan Manchester City 3-2, kira-kira 48 jam sebelum ini.

Mereka jelas pasukan lebih baik untuk sebahagian besar permainan dan mungkin tidak pulang hampa jika Joao Moutinho dan Romain Saiss tidak mensia-siakan peluang pada lewat permainan.

Pelawat turut dikecewakan apabila rayuan mereka untuk mengesahkan jaringan Pedro Neto ditolak pengadil - juga menggunakan VAR susulan ofsaid terhadap Jonny Otto.

Liverpool yang memakai lencana juara Piala Dunia Kelab di jersi tidak berada di prestasi terbaik tetapi sekali lagi berjaya membuktikan mereka memiliki ramuan untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana selama 30 tahun. - Reuters

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 9:13am
d