arena

Nishikori tarik diri Piala ATP

Oleh AFP

BINTANG tenis Jepun, Kei Nishikori menarik diri daripada menyertai Piala ATP selepas masih bergelut dengan kecederaan siku yang memaksanya berehat sejak Terbuka Amerika Syarikat.

Bekas pemain nombor empat dunia yang merosot ke tangga ke-13 itu berkata, dia kecewa tidak dapat mewakili negaranya dalam acara berpasukan di Perth bermula 3 Januari ini.

"Hari ini bersama pasukan, kami membuat keputusan ini selepas saya tidak 100 peratus sedia beraksi pada peringkat tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nishikori menjalani pembedahan siku pada Oktober lalu dan tidak dapat dipastikan sama ada dia bersedia menyertai Terbuka Australia apabila Grand Slam pertama tahun ini berlangsung di Melbourne Park pada 20 Januari.

Yoshihito Nishioka bakal menggantikannya sebagai pemain ranking tertinggi dalam pasukan Piala ATP Jepun.

Yasutaka Uchiyama turut menarik diri pada awal minggu ini dengan Toshihide Matsui mengambil alih tempatnya.

Ketiadaan Nishikori satu lagi kehilangan kepada kejohanan selepas pemain Britain, Any Murry menarik diri semalam akibat kecederaan pinggul selain Roger Federer memilih untuk tidak beraksi.

Kejohanan berpasukan yang pertama kali diadakan bermula pada 3-12 Januari dengan 24 negara dibahagikan kepada enam kumpulan. Lapan pasukan terbaik pusingan ‘round-robin’ mara ke saingan kalah mati.

Sydney menjadi tuan rumah final selain menjadi venue peringkat kumpulan yang akan turut berlangsung di Brisbane dan Perth.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 2:13pm
d