arena

NS kekal empat import [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

BIARPUN gagal membantu Negeri Sembilan mencapai sebarang kejayaan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu, empat pemain import yang beraksi dalam pasukan itu masih dikekalkan dalam pasukan untuk musim hadapan.

Mereka membabitkan tiga pemain dari Brazil iaitu Matheus Vila, 27, yang beraksi di posisi pertahanan, Jose Almir Neto, 34, dan Igor Luiz, 30, (penyerang) dan perancang tengah Shunsuke Nakatake, 29, (Jepun).

Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, berkata pihaknya berpuas hati dengan sumbangan diberikan empat pemain import terbabit.

"Mereka (import) sudah memberikan sumbangan terbaik termasuk menjaringkan banyak gol sepanjang musim lalu dan kita berpendapat bahawa mereka seharusnya dikekalkan untuk musim depan dengan kontrak dilanjutkan semusim lagi.

"Kita juga turut mengambil tujuh pemain baharu iaitu Shahrom Kalam (PKNS FC), Shahurain Abu Samah (PDRM), Nazrul Kamaruzzaman (Selangor United), Che Safwan Hazman (Penang FA), Mohd Arip Amiruddin (UKM FC), Ahmad Azriddin Rosli (UiTM FC) dan Syamie Iszuan Amin (Sarawak FA).

"Selain itu, kita juga mendapat khidmat tiga pemain Piala Presiden iaitu Muhamad Aizat Roslim, Idham Zuhair Roslizam dan Khairul Anuar Yusri Lani," katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai ketua jurulatih, pegawai dan pemain Negeri Sembilan musim 2020, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.

Antara pemain musim lalu yang dikekalkan termasuk Norhafiz Zamani Misbah yang dikekalkan sebagai kapten, Kaharuddin Abdul Rahman, Mohd Hamka Daud, Izaaq Izhan Yuswardi, Adam Othman Arfah, Daniel Hadri Effendi dan Mohd Arip Amiruddin.Selain itu, Abd Halim Zainal, Mohd Aiman Khalidi, Mohd Asraf Roslan, Mohd Izuan Salahuddin dan Mohd Fauzi Latif turut dikekalkan.

Mengenai sasaran, Tunku Syed Razman berharap skuad Hobin Jang Hobin yang dibimbing ketua jurulatih baharu, Sazali Saidon dan dibantu Kuizwan Johari, mampu menamatkan saingan Liga Perdana sekurang-kurangnya di tempat kedua carta untuk layak ke Liga Super musim 2021.

Mengenai bajet musim depan pula, beliau berkata, PBNS kekal dengan memperuntukan sebanyak RM8 juta semusim.

"Walaupun bajet kita tidak terlalu tinggi tetapi Alhamdullilah, pasukan dapat diuruskan dengan baik terutama soal gaji dan lain-lainnya.

"Kita berharap pasukan dapat mempamerkan persembahan lebih mantap musim depan," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada pengendali musim lalu Mat Zan Mat Aris dan Zaki Sheikh Ahmad, di atas sumbangan diberikan.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 7:07pm
d