arena

Mana hak saya : Kojie

Oleh Nor Amalina Alias

SKRIP lama, culas dalam membayar gaji pemain terus menghantui Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) apabila didakwa gagal berbuat demikian terutama membabitkan pemain yang tidak menyambung kontrak bersama The Red Warriors, musim depan.

Kali ini, bekas penyerang Kelantan, Fauzi Rozlan, yang tamat kontrak bersama pasukan itu, September lalu melahirkan kekecewaan terhadap KAFA yang gagal melunaskan tunggakan gajinya.

Fauzi atau Kojie mendakwa sepanjang bersama Kelantan dia hanya menerima beberapa bulan gaji daripada Januari hingga Julai lalu dengan jumlah tunggakan masih berbaki lebih RM60,000.

"Saya tidak berniat mahu mengaibkan KAFA atau mana-mana pihak, sebaliknya saya hanya mahu minta hak saya.

"Apatah lagi, saya perlu menanggung keluarga termasuk dua anak berusia sembilan dan enam tahun yang bersekolah.

"Saya kini bekerja sambilan di kampung di Pahang bagi menampung perbelanjaan harian keluarga dan komitmen lain sementara menunggu panggilan dari mana-mana pasukan lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fauzi berkata, dia sudah puas merayu kepada pihak pengurusan termasuk menghantar surat tuntutan bayaran tunggakan gaji yang diemelkan kepada pihak KAFA pada 21 November lalu namun tidak mendapat maklum balas.

Katanya, pihak KAFA juga sekadar 'berjanji mulut' apabila memberitahu akan melunaskan tunggakan gaji apabila mendapat penaja baru tanpa berusaha membantu pemain.

"Difahamkan, masalah tunggakan gaji itu membabitkan pemain yang tidak disambung kontrak. Bagi pemain yang kekal bersama Kelantan, saya tidak pasti sama ada mereka sudah dibayar gaji penuh atau tidak," katanya.

Pemain berbakat besar yang digelar 'The Supersub' itu memberi tempoh terdekat untuk KAFA melunaskan hutangnya dan berhubung dengannya secepat mungkin.

“Saya juga akan melanjutkan permasalahan itu kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bola Malaysia (FAM) bagi menuntut hak pemain,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 7:17pm
d