arena

Rooney sedia tampil lawan Barnsley

Oleh AFP

PENJARING rekod terbanyak England, Wayne Rooney bakal tampil kali pertama bersama kelab divisyen dua, Derby ketika menentang Barnsley pada Khamis ini, menurut pengurus, Phillip Cocu.

Rooney, 34, menyertai Derby sebagai pemain dan jurulatih selepas meninggalkan skuad MLS, DC United tetapi hanya boleh beraksi bermula Januari.

"Dengan pemain yang memiliki kualiti, karier dan pengalaman luas Rooney, anda perlu sangat gembira dan bangga dia ada di sini,” kata Cocu selepas Derby menewaskan Charlton 2-1 di tempat sendiri dalam aksi Championship, awal pagi tadi.

"Dia cergas dan boleh beraksi tetapi perlukan beberapa perlawanan lagi. Jangkaan sudah pasti tinggi tetapi kami perlu berikan dia beberapa perlawanan untuk dia membiasakan diri dengan pasukan. Jadi janganlah mengharapkan permulaan yang sempurna daripada Rooney.”

Bekas penyerang Three Lions itu mengikat kontrak 18 bulan dan tidak beraksi sejak meninggalkan DC United pada 19 Okotber namun mendakwa fizikalnya tetap cergas.

“Saya rasa tubuh saya sedia diturunkan, saya rasa bagus. Selagi saya rasa berfaedah kepada pasukan, saya akan beraksi. Saya boleh menambahkan kualiti kepada pasukan selain pengalaman,” kata Rooney.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 9:28am
d