arena

Pogba tidak akan tinggalkan Old Trafford

Oleh Reuters

BINTANG tengah Perancis, Paul Pogba kerap dikaitkan dengan spekulasi perpindahan dari Manchester United tetapi ejennya, Mino Raiola memberitahu media Britain pemain itu akan kekal di Old Trafford.

"Paul sentiasa menghormati Manchester United sama seperti United hormati Paul dan satu-satunya orang yang bercakap untuk Manchester United dan juga Paul adalah Ole...

"Saya akan mengulangi apa yang dia (Solskjaer) kata. Dia (Pogba) tidak akan berpindah dan ia adalah OK. Hubungan kami dengan mereka bagus.

Selepas tersisih ketika perlawanan bertemu Burnley dalam aksi Liga Perdana, minggu lalu Pogba dijangka disenaraikan oleh pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer ketika kunjungan ke Arsenal pada Tahun Baharu.

Selain dibelenggu masalah kecederaan, kempen Pogba pada musim ini turut dibayangi spekulasi perpindahan keluar dari United dengan beberapa kelab utama Eropah dikaitkan tetapi Raiola berkata pemain itu akan menghormati kontraknya.

"Selagi Paul berada di Manchester United dia mahu memenangi trofi... dia mahu memberikan 100 peratus. Paul sedikit bergelut dengan kecederaan dan kami sedang cuba untuk perbaikinya dan saya fikir ia keutamaan kami sekarang," kata Raiola.

Kemenangan 2-0 United ke atas Burnley menyaksikan mereka kini menghuni tangga kelima liga manakala Arsenal jatuh ke tangga ke-12 apabila tewas kepada Chelsea.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 9:46am
d