arena

Real Madrid simpan Benzema dua musim lagi

Oleh Agensi

KARIM Benzema menandatangani terma baharu bersama Real Madrid dan melanjutkan kontraknya setahun lagi sehingga penghujung musim 2021-22.

Penyerang Perancis itu menghabiskan tempoh sedekad bersama Los Blancos dengan 500 penampilan bersama kelab dan menjaringkan 238 gol.

Dia kerap dikaitkan dengan perpindahan sejak beberapa musim lalu dengan Arsenal dikatakan tidak jemu memburu khidmatnya tetapi dengan termeterainya kontrak baharu, dia akan terus kekal di Madrid untuk dua musim lagi.

Pemain berusia 32 tahun itu sudah pasti gembira dengan penambahbaikan kepada terma baharu sebagai hadiah ke atas konsistensi dipamerkan bersama kelab.

Bekas penyerang Lyon yang menjaringkan 16 gol dalam 23 penampilan musim ini hanya gagal menjaringkan 20 gol atau lebih dalam tiga daripada 11 kempen.

Marca berkata, perjanjian itu hanya dilanjutkan setahun atas kehendak Benzema sendiri memandangkan usianya mencecah 34 tahun pada penghujung kontrak.

Real Madrid tahu nilai Benzema kepada mereka dan percaya dia mampu menyumbang kepada kejayaan kelab beberapa tahun lagi dengan kini di tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak La Liga di belakang Lionel Messi dengan 12 gol.

Bintang Perancis itu menjulang 17 trofi bersama Los Blancos termasuk dua gelaran La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 12:01pm
d