arena

Lapan atlet panas badan di Hangzhou

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KEJOHANAN Olahraga Dalam Dewan Asia di China menjadi medan pemanas badan buat lapan atlet kebangsaan untuk pertandingan berskala besar termasuk memburu kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020.

Cabaran di Hangzhou pada 12 dan 13 Februari depan bakal digalas pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina iaitu raja pecut, Muhammad Haiqal Hanafi; Lee Hup Wei/ Yap Sean Yee (lompat tinggi) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang).

Turut tersenarai jaguh lompat jauh, Andre Anura Anuar; Rayzam Shah Wan Sofian (lari berpagar); Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Norliyana Kamaruddin (pentatlon). Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil mahu semua atlet memanfaatkan peluang itu dengan mempamerkan aksi terbaik sekali gus meningkatkan prestasi masing-masing.

"Bagi saya, ia menjadi antara sesi pemanas badan kepada lapan atlet berkenaan untuk persediaan menyertai kejohanan lebih besar terutama kelayakan ke Sukan Olimpik berkemungkinan selepas Mac depan.

"Namun, peluang seumpama ini perlu digunakan sebaik mungkin mereka untuk kekal konsisten dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan Muhammad Haiqal dan Rayzam Shah dapat mempamerkan larian terbaik dalam acara 60 meter (m).

"Acara itu mungkin agak berbeza dengan kebiasaannya namun saya yakin mereka dapat mencatatkan masa terpantas nanti," katanya.

Kata Mohd Manshahar, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hanya memuktamadkan senarai lapan atlet berkenaan dan tiada sebarang penambahan penyertaan lain setakat ini.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 1:03pm
d