arena

NS rancang pemanas badan berdepan JDT

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS mula membentuk skuad baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan, Negeri Sembilan merancang mengadakan tiga aksi persahabatan dengan pasukan Liga Super sebagai persiapan pramusim.

Ketua jurulatih baharu pasukan itu, Sazali Saidon, berkata tiga aksi persahabatan yang dirancangkan ialah perlawanan dengan juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta`zim (JDT) pada 11 Januari ini.

Katanya, perlawanan berikutnya ialah dengan pendatang baharu Liga Super, Sabah pada 17 Januari diikuti bertemu Melaka United (MU) pada 23 Januari.

"Kita perlu mengadakan persiapan pramusim dengan program terbaik dan setakat ini tiga aksi persahabatan sudah dirancang membabitkan perlawanan dengan JDT, Sabah dan Melaka United.

"Menerusi aksi persahabatan dengan pasukan yang lebih berwibawa akan dapat membantu kita membentuk kombinasi mantap antara pemain selain melihat sebarang kelemahan dalam pasukan sebelum mengharungi cabaran liga.

"Kita perlu gunakan tempoh pramusim yang panjang ini dengan sebaik mungkin untuk mempersiapkan pasukan," katanya di Seremban, hari ini.

Sazali dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) ke jawatan itu bagi menggantikan pengendali sebelum ini, Mat Zan Mat Aris dan pemangku jawatan itu pada sebahagian musim, Zaki Sheikh Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat seramai 16 pemain musim lalu termasuk empat pemain import yang dikekalkan dalam skuad berkenaan.Menurutnya, sebahagian besar daripada pemain terbabit berusia bawah 30 tahun, sekali gus memudahkannya membentuk skuad mantap.

"Keempat-empat pemain import musim lalu dikekalkan berdasarkan prestasi mereka sebelum ini dan diharap keserasian yang ada membolehkan kami tidak memerlukan masa lama untuk membentuk gandingan mantap.

"Menjadi hasrat saya untuk mengembalikan semula reputasi Negeri Sembilan dalam saingan liga tempatan sepertimana yang pernah dicapai sebelum ini selain menarik ramai penyokong ke stadium.

"Justeru, saya yakin menerusi kombinasi pemain baharu dan senior dalam pasukan ini, sasaran membawa Negeri Sembilan kembali ke Liga Super musim 2021, boleh direalisasikan," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 5:10pm
d