arena

Sedia cabar Man City, Liverpool : Ancelotti

Oleh Reuters

PENGURUS Everton, Carlo Ancelotti berkata pemainnya harus memanfaatkan peluang menguji diri berdepan pasukan terbaik menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang juara bertahan Manchester City pada awal pagi Khamis ini.

Everton juga akan berdepan pencabar setempat dan Juara Eropah Liverpool pada pusingan ketiga Piala FA pada Ahad, dan warga Itali itu yakin dia mampu meneruskan permulaan baik di kelab berkenaan selepas mengambil alih daripada Marco Silva bulan ini.

“Berdepan City ia pastikan ujian yang hebat untuk menguji kemampuan kami. Mereka adalah pasukan yang sangat kuat tetapi kami mempunyai keyakinan untuk melakukan yang terbaik,” kata Ancelotti.

“Buat masa ini adalah bagus untuk mendapat ujian seperti ini. Juga menentang Liverpool. Kami harus cuba untuk bersaingan menentang pasukan terbaik di England dan Eropah.”

Everton menewaskan Burnley 1-0 dalam perlawanan pertama Ancelotti mengambil alih dan diikuti kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United untuk melonjak ke tangga 10 dalam carta liga, meneruskan rentak lima perlawanan tanpa tewas dalam Liga Perdana di bawah kendalian jurulatih sementara Duncan Ferguson.

“Adakah saya terkejut ? Tidak, kerana kami berusaha untuk terus mencuba dan menang perlawanan,” tambah Ancelotti. “Saya terkejut dengan semangat pasukan ini. Saya fikir kerja yang dilakukan oleh Duncan sangat bagus.

“Saya melihat pemain dengan karakter, sikap yang baik jadi saya fikir ini adalah sebab saya tidak melakukan banyak perubahan.. pemain menunjukkan keyakinan dalam permainan, dan saya harap ini akan berterusan pada perlawanan seterusnya yang cukup sukar.

“Kami tidak mempunyai masa untuk mencuba perkara dalam latihan kerana ini bukan masanya. Ia mungkin menjadi lebih bahaya untuk membuat banyak pertukaran kerana pemain mungkin keliru. Jadi perubahan kecil dalam tempoh ini dan tumpu pada perlawanan.”

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 10:36pm
d