arena

Tarikan baru Piala ATP

Oleh AFP

KEJUARAAN baru dalam acara berpasukan akan memulakan musim tenis lelaki 2020 Jumaat ini dengan Rafael Nadal dan Novak Djokovic antara yang memburu kejuaraan awal sebelum Grand Slam pertama tahun ini.

Piala ATP akan menyaksikan 24 negara dipecahkan kepada enam kumpulan di tiga bandaraya Australia dengan lapan pasukan daripada aksi round robin itu bertarung dalam pusingan kalah mati sehingga pasukan terakhir muncul sebagai pemenang.

Ia kejohanan terbaru sukan itu dan acara berpasukan lelaki ketiga, selain Piala Davis yang berwajah baru selain Piala Laver yang mempertemukan pemain terbaik Eropah dan Dunia.

Namun ia sudah pun berdepan cabaran getir dengan pemain utama Roger Federer memilih untuk tidak menyertainya manakala Andy Murray dan Kei Nishikori menarik diri akibat kecederaan.

Begitupun pemain nombor dua Djokovic berkata usaha untuk menambah kejohanan tenis berpasukan sesuatu yang bagus untuk sukan yang dikenali dengan kekuatan bintang global secara individu.

“Lebih daripada 90 peratus masa, kami bermain sebagai individu dan kami tidak banyak acara berpasukan,” kata permain Serbia itu yang turut mengetuai majlis pemain ATP.

“Ia akan menyatukan banyak negara dan bagi saya secara peribadi ia satu detik indah dan membanggakan untuk mewakili negara. Acara seperti ini sudah pasti akan memberi impak.”

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 11:49am
d