arena

Arteta mahu Xhaka kekal di Arsenal

Oleh AFP

MIKEL Arteta berharap Granit Xhaka akan kekal bersama Arsenal ketika pengurus baharu kelab itu berusaha mengubah nasib skuad Gunners.

Pemain tengah Switzerland, Xhaka tidak beraksi ketika tewas kepada Chelsea 1-2 di gelanggang sendiri pada Ahad kerana masalah kesihatan menguatkan spekulasi dia mungkin meninggalkan Stadium Emirates pada jendela perpindahan Januari.

Xhaka dilucutkan dari lilitan kapten Arsenal pada Oktober oleh bekas pengurus Unai Emery berikutan reaksi marah pemain itu selepas di ejek peminat Gunners.

Dia dilihat dikaitkan dengan perpindahan ke Hertha Berlin di Bundesliga Jerman tetapi Arteta apabila ditanya sama ada dia mahu Xhaka pemain berusia 27 tahun itu meninggalkan kelab Utara London, Arsenal menjawab : “Saya harap tidak. Dia bermain di Bournemouth, dia beraksi sangat bagus, dia sangat komited, dia bermain dalam permainan yang baik.

“Selepas perlawanan itu dia mula merasakan kesakitan. Dia mengalami demam panas dan tidak berapa sihat. Dua hari lalu dia hanya terlantar di katil. Disebabkan itu di tidak disenaraikan.”

Arsenal membiarkan kemenangan yang hampir berpihak kepada pasukan itu di penghujung 10 minit terakhir perlawanan ketika berdepan Chelsea selepas gol pendahuluan daripada Pierre-Emerick Aubameyang.

Namun kesilapan daripada penjaga gol Bernd Leno, yang gagal menampan bola daripada hantaran lintang membolehkan Jorginho menyamakan kedudukan ke arah gawang yang terbuka sebelum Tammy Abraham menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.

Arteta berkata ia adalah tugas keseluruhan skuad untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan yang dilakukan Leno.

“Dia akan kurang keyakinan. Apabila kesilapan yang menjejaskan mata pasukan, ia sukar,” jelasnya. “Kami terpaksa membiarkannya. Dia melakukan tugas yang sangat bagus sejak dia menyertai kelab bola sepak ini dan kami harus menghormati itu.

“Kami hanya perlu membawa keyakinan itu semula dan hanya itu sahaja.”

Arsenal mungkin tanpa khidmat Calum Chambers bagi kunjungan Hari Tahun Baharu di Manchester United selepas pemain pertahanan tengah itu mengalami kecederaan lutut ketika tewas kepada Chelsea.

Gunners kini di tangga ke 12 carta liga, hanya enam mata daripada zon penyingkiran.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 6:46pm
d