arena

KUFC senarai pemain minggu depan

Oleh BERNAMA

PENDATANG baharu Liga Perdana, Kelantan United (KUFC), bakal muktamadkan senarai pemain, bagi memperkuatkan pasukan itu pada saingan liga terbabit musim ini, dalam masa terdekat.

Ketua jurulatihnya, Zahasmi Ismail berkata, ketika ini pasukannya pada fasa akhir sesi menguji pemain import dan tempatan, bagi memperkuatkan pasukan untuk memberikan saingan sengit pada aksi Liga Malaysia (Liga-M) terutamanya Liga Perdana musim ini.

"Pencarian pemain tempatan dan import dilakukan melalui ujian pada beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, dan beberapa pemain dalam radar serta penilaian kami yang bersesuai dengan keperluan pasukan, namun buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan pemain itu, bagi mengelak salah faham.

"Kita jangka dapat mengumumkan senarai pemain yang akan menyarung jersi pasukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

KUFC adalah pasukan kedua dari Kelantan yang akan beraksi pada saingan Liga Perdana musim ini, selepas muncul juara pada Liga M3 musim lalu, selain pasukan Kelantan ‘The Red Warriors’ (TRW).

Zahasmi berkata bagi memantapkan pasukan menghadapi saingan Liga M yang sudah pasti lebih mencabar pihak pengurusan pasukan akan mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan pra-musim.

"Saingan Liga Perdana tidak seperti Liga M3, kami perlu melakukan persiapan yang lebih rapi, sekiranya mahu menjadi satu daripada pasukan yang kuat dalam persaingan.

"Kami akan menentang pasukan dalam dan luar negara bagi mengenal pasti kelemahan serta kemampuan pasukan dan untuk diperbaiki sebelum sepak mula sebenar Februari depan," katanya.

Menurut Zahasmi, persediaan pasukan sehingga kini hampir 90 peratus dan hanya beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

"Kami tidak mahu terburu-buru bagi mendapatkan khidmat pemain, baik pemain import mahu pun tempatan, bagi mengelakkan pembaziran di kemudian hari," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 9:51pm
d