arena

Brighton sekat hajat Chelsea

Oleh Agensi

PENYERANG Brighton & Hove Albion, Alireza Jahanbakhsh menjaringkan gol cemerlang dengan gaya sepakan gunting pada separuh masa kedua untuk menafikan jaringan pembukaan pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta dalam aksi menghiburkan ketika seri 1-1 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini.

Keputusan di Stadium Amex membantu Brighton menamatkan kekalahan sembilan perlawanan liga berturut-turut oleh Chelsea sejak 1983 ketika skuad kendalian Frank Lampard gagal memanfaatkan peluang untuk mencatat kemenangan berturut-turut liga buat pertama kali sejak November.

Pemain pertahanan kiri Azpilicueta meraikan penampilan dalam kesebelasan utama kali ke 100 sebagai kapten Chelsea dengan gol pembukaan, melakukan rembatan pada jarak dekat pada 10 minit permainan selepas rembatan Tammy Abraham dihalang berhampiran garisan gol oleh pemain Brighton, Aaron Mooy susulan sepakan sudut.

Pemain gantian Jahanbakhsh kemudian menampilkan gol menarik ketika enam minit baki permainan dengan sepakan gunting menakjubkan yang menewaskan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Walaupun memperoleh beberapa peluang menjaringkan gol namun kesempatan itu gagal disempurnakan barisan pemain Chelsea.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Aston Villa mengutip tiga mata selepas dua gol yang dijaringkan pada babak pertama oleh Wesley Moraes pada minit ke 27 dan Jack Grealish minit ke-41 memastikan kemenangan ke atas Burnley.

Sekalipun tuan rumah Burnley cuba bangkit pada separuh masa kedua selepas Chris Wood menjaringkan gol pada minit ke-80 permainan.

Keputusan EPL

Brighton 1 (Jahanbakhsh 84) Chelsea 1 (Azpilicueta 10)

Burnley 1 (Wood 80) Aston Villa 2 (Wesley 27, Grealish 41)

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 10:50pm
d