arena

Pencapaian atlet perlu lebih baik dari Rio 2016

Oleh Arena HM

“JIKA tidak meraih pingat emas sekalipun, pencapaian kita perlu lebih baik daripada temasya di Rio sebelum ini.”

Demikian kata bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengenai misi getir Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memburu emas sulung negara pada Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.

“Saya cuma berharap sasaran penting itu adalah realistik dan dapat direalisasikan sebaik mungkin. Semuanya perlu lebih meningkat termasuk memperoleh lebih banyak pungutan pingat berbanding empat perak dan satu gangsa pada edisi Rio 2016,” katanya kepada Arena Metro.

Zolkples berkata, sandaran utama sememangnya menerusi sukan badminton yang sentiasa membutirkan pingat buat kontinjen Malaysia.

“Namun, kita perlu ingat semua pesaing dari negara lain juga semakin kuat dan rata-ratanya memberi fokus utama untuk Olimpik. Justeru, pemain kita perlu terus konsisten untuk memberi cabaran sekali gus membawa pulang pingat nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mahu proses penyediaan atlet pelapis kebangsaan dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya menumpukan kepada sesuatu kejohanan semata-mata.

Arena Metro semalam melaporkan tahun 2020 dianggap cabaran getir buat MOM dan pengkhususan badan induk itu terarah dalam mempersiapkan kontinjen Malaysia untuk merealisasikan sasaran penting berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menganggap atlet kebangsaan yang bertaraf dunia mampu meraih emas selain prospek utama antaranya menerusi sukan badminton, terjun dan berbasikal.

Seramai 10 atlet sudah mengesahkan tiket ke Olimpik setakat ini antaranya barisan penerjun negara iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri.

Ia diikuti barisan pelayar iaitu Khairulnizam Mohd Afendy Abdullah, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali selain Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) serta Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:05am
d