arena

Semak semula kontrak

Oleh Firdaus Hashim

BEBERAPA kelonggaran dalam kontrak pemain import adalah penyumbang sebenar kerugian yang terpaksa dilalui sebahagian besar pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) hingga menyebabkan mereka lebih gemar mengambil bintang import ‘kitar semula’ yang sudah terbukti kemampuannya.

Jika sebelum ini dalam kontrak pemain diletakkan klausa penilaian prestasi kepada awang import, ia kemudian dimansuhkan pada musim lalu yang menyaksikan pemain asing mula ‘besar kepala’ dan gagal memberikan aksi terbaik buat pasukan diwakili.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, beliau kecewa dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memansuhkan peraturan itu dalam kontrak.

Berikutan itu, katanya, kebanyakan pasukan Liga M lebih rela mengambil pemain import ‘kitar semula’ yang sudah terbukti kemampuannya ketika bersama pasukan lain sebelum ini.

Menurutnya, mengambil bintang luar sukar kerana bimbang prestasi hebat yang diharapkan akan bertukar mimpi ngeri dan terpaksa menanggung kerugian selama semusim.

“Sebelum ini (dua musim lalu) kita bagi KPI (Indeks Prestasi Utama), kalau tak jaringkan gol kita akan buat tindakan potong gaji. Tapi MFL buang jadi kita tak boleh nak lanyak atau tekan pemain import kerana khidmat mereka bukan bayar sikit-sikit tapi beratus ribu. Nak bagi surat amaran pun tak boleh.

“Sebelum ini saya bagi surat amaran kepada pemain import tapi dia bagi pula kepada peguamnya di luar negara dan kita (KLFA) pula yang kena balik, katanya dalam kontrak tak ada (peraturan KPI) dan itu memang betul sebab MFL dan FAM dah guna kontrak baharu cuma letak peraturan disipilin saja.

“Kita kecewa dan persoalkan mengenai kontrak baharu itu. Bukan apa, kita nak penilaian prestasi itu dalam kontrak supaya pemain sentiasa beringat dan pamerkan prestasi terbaik, tak adil pada kitalah,” katanya ketika ditemui pada sesi Majlis Menandatangani Pemain KLFA bagi musim 2020 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan, kehadiran pemain import ‘kitar semula’ semakin menjadi-jadi dalam saingan Liga M yang bakal memberi kesan negatif terutama kepada kehadiran penonton ke stadium.

Ia berpunca daripada tiadanya faktor ‘wow’ buat peminat bola sepak tanah air khususnya dalam penggunaan pemain import yang ‘dikitar semula’.

Jelas Nokman, bagi memastikan pasukan tidak terjerat dengan ‘janji manis’ tonggak import, kebanyakan pasukan terpaksa menawarkan kontrak hanya setahun buat pemain asing.

“Dua tahun lalu bila ada KPI dalam kontrak, kita pernah bagi dalam jendela pertama surat amaran potong 10 peratus dan kemudian kalau tak meningkat lagi, kita potong 20 peratus tetapi sekarang tak ada. Kita kena hati-hati dan sebab itu kita tak boleh tawarkan dua tahun tapi kena setahun saja,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:07am
d