arena

Jesus hukum Everton sekali lagi

Oleh AFP

PEP Guardiola menyanjung semangat melawan Manchester City ketika Gabriel Jesus meneruskan rekod mengagumkan menentang Everton dengan dua gol babak kedua membantu kemenangan 2-1 di Etihad awal pagi tadi.

Jesus diturunkan dalam kesebelasan utama ketika pengurus City, Guardiola merehatkan Sergio Aguero, namun keputusan memilih pemain Brazil itu berbanding penjaring gol terbanyak kelab mungkin disebabkan rekod bagusnya menentang Everton.

Membalas kepercayaan pengurusnya, Jesus mengucar-ngacirkan benteng Everton sekali lagi.

Dia kini menyumbat tujuh gol dalam lima aksi terakhir menentang kelab Merseyside itu, yang mungkin bosan dengan kelibatnya.

“Kami bermain hebat jadi saya bangga dengan mereka. Tempoh ini amat sukar. Kami bertindak dengan amat bagus. Tiga lagi mata dan menghampiri Leicester,” kata Guardiola.

City kekal di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan kedua berturut-turut menyaksikan mereka ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Liverpool, yang mempunyai kelebihan beraksi kurang dua perlawanan.

“Apabila anda terlalu jauh berbanding tangga pertama kadang-kadang orang akan berputus asa, tapi kami tidak pernah putus asa,” ujar Guardiola.

“Kami perlu terus berjuang. Kami masih ada Piala FA dan kemudian Piala Liga. Pasukan lain keciciran mata bagi kelompok empat teratas jadi ia kemenangan yang penting.”

Richarlison membalas satu gol buat Everton, namun ia kekalahan pertama bos baharu Carlo Ancelotti, yang mengemudi kemenangan ke atas Burnley dan Newcastle sejak menggantikan Marco Silva yang dipecat.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 7:53am
d