arena

Pogba jalani pembedahan lutut

Oleh AFP

PAUL Pogba akan menjalani pembedahan susulan kecederaan lutut yang berulang dan dijangka diketepikan selama sebulan lagi, menurut pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer selepas pasukannya tewas 0-2 di tangan Arsenal, awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu melakukan kemunculan semula selepas hampir tiga bulan ketika kalah 0-2 di Watford 10 hari lalu dan turut beraksi sebagai pemain simpanan ketika membenam Newcastle 4-1 empat hari kemudian.

“Kami sudah menjalankan imbasan dan ia bukannya sesuatu yang besar, ia sesuatu yang perlu dibetulkan dan ditangani. Dia dinasihatkan untuk menjalani pembedahan secepat mungkin,” kata Solskjaer.

Pogba hanya melakukan enam penampilan dalam kesebelasan utama United musim ini dan pengaruhnya di bahagian tengah dirasai dengan Red Devils menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris.

Kecederaan terbaru itu bukan sesuatu yang disenangi Solskjaer ketika Scott McTominay turut diketepikan selama dua bulan menyebabkan pengendali dari Norway itu kekurangan pilihan di bahagian tengah.

“Ia satu tamparan besar Paul kini diketepikan begitu juga Scott, dia terpaksa berehat beberapa bulan. Paul akan kembali dalam tempoh sebulan.”

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 10:31am
d