arena

Dimitrov sedia kurangkan kejohanan

Oleh AFP

BEKAS pemain nombor tiga dunia Grigor Dimitrov merudum rankingnya tahun lalu ketika dia bergelut dengan kecederaan bahu, namun pemain Bulgaria itu menyatakan dia tidak akan memaksa diri untuk kembali ke puncak sukan tenis.

Pemain berusia 28 tahun itu gagal bertindak cemerlang pada awal musim sekalipun dia layak ke separuh akhir Terbuka AS dan Masters Paris.

Dimitrov berkata, tahun 2019 yang mana dia gagal memenangi kejuaraan, menjadi sebahagian “daripada perjalanannya.”

“Ia tahun yang mana saya akan ingati hingga akhir hayat saya,” katanya di Sydney hari ini menjelang kejohanan berpasukan Piala ATP, kejohanan pemanas badan buatnya bagi menghadapi Terbuka Australia.

“Ya, keadaan badan saya sekarang amat bagus. Saya masih memantau banyak kerja saya, banyak perkara yang saya lalui.

“Semuanya berjalan dengan lancar. Saya tidak terlalu mendesak, jadi ia sesuatu yang bagus.”

Masalah bahu adalah kecederaan utama pertama Dimitrov dan dia merancang untuk mengehadkan kejohanan yang akan disertainya terutama pada awal musim.

“Saya tidak akan memaksa diri bermain terlalu banyak kejohanan dan perlu menjaga badan. Ia perkara nombor satu,” kata Dimitrov, kini di ranking ke-20.

Piala ATP, yang bermula esok, menampilkan 24 negara beraksi dalam enam kumpulan di Sydney, Brisbane dan Perth dengan lapan pasukan dari peringkat round-robin layak ke peringkat kalah mati.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 1:17pm
d