arena

Kuala Lumpur sedia bersaing di Liga Super

Oleh Firdaus Hashim

KUALA Lumpur sedia beraksi di Liga Super musim ini bagi menggantikan mana-mana pasukan yang masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu.

Difahamkan terdapat beberapa pasukan dalam Liga Super masih gagal melunaskan tunggakan gaji yang sepatutnya boleh dihalang daripada beraksi atau diturunkan pangkat ke Liga Perdana.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, skuad Warga Kota yang akan bersaingan di Liga Perdana musim ini tidak berdepan sebarang masalah tunggakan sebelum ini.

Katanya, sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhasrat untuk mencari pengganti pasukan di Liga Super, skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff itu sedia menerima tawaran berkenaan.

"Kita sedia (beraksi di Liga Super). Kalau pemain-pemain yang ada ini saya rasa tak ada masalah dan boleh pergi (beraksi)," katanya.

Menurutnya lagi, beberapa pemain senior seperti Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin mampu mengetuai barisan pemain sekali gus memberi cabaran di saingan liga utama itu.

"Macam saya tengok hari Isnin lalu, kita hantar pemain buat ujian kecergasan di PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Paling mengejutkan Shukor muncul yang terbaik walaupun umurnya 40 tahun.

"Indra juga sama, jadi saya tak nampak masalah sekiranya kita nak beraksi di Liga Super kalau diberi tawaran," katanya.

Sebelum ini, FAM memberi amaran kepada beberapa pasukan yang mempunyai tunggakan gaji di mana mereka boleh dikenakan hukuman ditarik kembali lesen kelab kebangsaan atau pelbagai sekatan termasuk dijatuhkan ke Liga Perdana.

Difahamkan enam pasukan terbabit yang berhadapan masalah tunggakan gaji dengan empat daripadanya beraksi di Liga Super manakala, dua lagi pasukan di Liga Perdana.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 7:59pm
d