arena

Perin, Behrami kembali ke Genoa

Oleh AFP

PENJAGA gol kebangsaan Itali, Mattia Perin meninggalkan Juventus untuk kembali menyertai kelab bermasalah Genoa, umum kedua-dua kelab Serie A itu awal pagi tadi.

Kelab tercorot dalam liga utama Itali itu turut menyambar pemain tengah Switzerland, Valon Behrami dan penyerang Bologna, Mattia Destro.

Perin menyertai Genoa, kelab yang pernah diwakilinya selama lima musim antara 2013 dan 2018, secara pinjaman dilaporkan hingga hujung Jun ini.

Behrami turut kembali menyertai kelab barat laut itu secara perpindahan percuma selepas meninggalkan kelab Switzerland, Sion dua bulan lalu, dengan Destro menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mengikat perjanjian pinjaman selama enam bulan.

Genoa berada empat mata di belakang zon selamat menjelang aksi di laman sendiri menentang Sassuolo, Ahad ini.

Davide Nicola muncul jurulatih ketiga kelab itu musim ini minggu lalu selepas Thiago Motta dipecat susulan hanya satu kemenangan aksi liga sejak mengambil alih pada 22 Oktober lalu.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 8:10am
d