arena

Kulusevski sah sertai Juve

Oleh AFP

ATALANTA menjual pemain remaja berbakat Sweden, Dejan Kulusevski kepada Juventus dalam perjanjian lima tahun bernilai 35 juta euro (RM159 juta) termasuk bonus, umum kelab juara Serie A itu awal pagi tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu memukau musim ini sejak beraksi secara pinjaman bersama Parma dari Atalanta Jun lalu, menjaringkan empat gol dan mencipta tujuh lagi dalam 17 perlawanan.

“Juve sudah membeli pemain dari Atalanta, tapi dia akan meneruskan musim secara pinjaman di Parma,” menurut Juventus dalam satu kenyataan.

Juve kendalian Maurizio Sarri berjaya memenangi perebutan untuk mengikatnya sekali gus mengatasi musuhnya Antonio Conte di Inter Milan, yang cuba menamatkan rentetan lapan kejuaraan berturut-turut juara Serie A itu.

Pemain Sweden itu menandatangani kontrak 35 juta euro termasuk 9 juta euro (RM41 juta) menerusi bonus berkaitan persembahan, menurut Juventus. Perjanjian lima tahun itu berakhir hingga 30 Jun 2024.

“Saya terlalu gembira, 2020 bermula dengan terlalu bagus,” kata Kulusevski.

“Ia hari penting buat saya, rakan, keluarga dan setiap orang yang bekerja dengan saya.

“Sarri melakukan tugas fantastik di Napoli dan Chelsea. Saya mengkaji gaya permainannya dan saya amat sukakannya.”

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 8:27am
d