arena

Formula Dollah, Ahmad buat Tok Gajah

Oleh Mohd Rafi Mamat

GANDINGAN ketua jurulatih Dollah Salleh dan penolongnya Ahmad Yusof menjadi taruhan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mencetuskan kejayaan bermakna skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengalaman luas dua bekas pemain kebangsaan itu diharap mampu membentuk pasukan Pahang yang lebih baik seterusnya berupaya memberi saingan pada pasukan lain dan akhirnya berupaya menjulang kejuaraan berganda musim ini.

Ahmad pernah membimbing Tok Gajah pada musim 2007 sebelum bersama beberapa pasukan negeri dan kelab seperti Terengganu, Sime Darby, Pulau Pinang, Kedah dan Hanelang FC.

Rata-rata peminat skuad Pahang yakin Tok Gajah mampu menyerlah musim ini dengan kehadiran barisan kejurulatihan baharu yang berpengalaman di peringkat kebangsaan.

Mereka berpendapat gandingan Dollah dan Ahmad mampu membentuk skuad mantap untuk menghasilkan kejayaan lebih gemilang selepas gagal merangkul sebarang kejuaraan musim lalu.

Sebelum ini gandingan Dollah dan Zainal Abidin Hassan pernah berganding membentuk skuad Pahang yang membariskan pemain tempatan dan import terbaik.

Musim lalu Dollah dibantu bekas pemain kebangsaan Ahmad Shaharudin Rosdi selama beberapa musim hingga berjaya merangkul beberapa gelaran dan terakhir juara Piala FA 2018.

Dengan persediaan rapi tidak mustahil Tok Gajah yang masih lagi mengekalkan beberapa pemain lama seperti Mohamadou Sumareh, Matthew Davies, Muslim Ahmad, Herold Gaulon, Azam Azih dan Faisal Rosli akan mencipta kejayaan yang diharapkan semua pihak.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 3:16pm
d