arena

Pelayar Terengganu curi tumpuan di Doha

Oleh Malik Muhamad

PELAYAR Terengganu berjaya mengharumkan negara selepas meraih satu pingat emas dan satu gangsa dalam Kejohanan Perlumbaan Inter Club Antarabangsa di Kelab Marina Doha, Qatar yang berakhir kelmarin.

Pingat emas diraih dalam acara optimist berpasukan menerusi pelayar Asmadi Azman, Muhammad Idris Mohd Zawawi, Fikri Aqil Mohd Fauzi, Muhamad Syazwan Kamaruzaman dan Nazmi Qusyairi Mohd Nazri.

Mereka menang dalam semua enam perlumbaan dengan mengutip 74 mata keseluruhan menundukkan Turki yang meraih perak manakala Thailand gangsa.

Bagaimanapun, impian pelayar meningkat naik, Muhammad Idris untuk mengutip emas acara individu berkecai apabila sekadar berpuas hati meraih gangsa dibelakang pelayar Thailand yang meraih emas dan perak.

Idris yang turut beraksi dalam acara berpasukan akur selepas melakukan kesilapan pada hari kedua dalam keadaan angin tidak menentu pada kejohanan yang berlangsung lima hari itu.

Jurulatih pelayaran Terengganu, Abdul Rani Idris menyifatkan kejayaan itu begitu membanggakan ketika saingan sengit diperagakan pasukan bertanding selain keadaan angin tidak menentu.

"Kejohanan yang bermula 28 Disember lalu sehingga 1 Januari 2020 menjadi pemangkin kepada pelayar negeri dalam menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor pada tahun ini.

"Secara keseluruhan pelayar menunjukkan petanda positif dan kami masih ada masa untuk memperkemaskan teknik kendalian dan taktikal dalam misi mempertahankan juara keseluruhan SUKMA dalam sukan air itu.

"Malah Persatuan Pelayaran Terengganu (TESA) sudah merangka beberapa lagi latihan dan kejohanan untuk disertai sebelum senarai akhir pelayar dipilih pada Jun ini," ujar Abdul Rani yang mahu menambah koleksi emas berbanding lapanemas dalam SUKMA di Perak pada 2018.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 6:04pm
d