arena

Bernhardt ketua jurulatih UiTM FC [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

KELAB Bolasepak UiTM (UiTM FC) memulakan cabaran musim 2020 dengan melantik bekas ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Frank Bernhardt, sebagai ketua jurulatih kelab itu.

Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Azizan Abdullah berkata, pemilihan jurulatih kelahiran Jerman itu diharapkan dapat membantu UiTM FC yang bakal bersaing dalam Liga Super.

“Frank Bernhardt bukan nama asing dalam sukan bola sepak negara kerana beliau pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih untuk pasukan bawah 23 tahun negara pada tahun 2015 hingga 2017.

“Sebagai presiden UiTM FC, saya yakin dengan pengalaman dan kemampuan beliau untuk memimpin pasukan yang dibarisi oleh pemain-pemain muda universiti,” katanya pada sidang media memperkenalkan Ketua Jurulatih UiTM FC di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman Bernhardt selama dua tahun dengan pasukan negara juga memudahkannya memahami corak dan perjalanan bola sepak negara seterusnya membolehkannya membina UiTM FC untuk musim 2020.

Katanya, kontrak Bernhardt bersama UiTM FC adalah untuk satu musim dan pihaknya berharap, kelab berkenaan sekurang-kurang berada di kedudukan lapan terbaik pada akhir musim dan kekal dalam liga.

Sementara itu, Bernhardt berkata, beliau gembira menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih UiTM FC seterusnya kembali ke negara ini.

“Saya mempunyai pengalaman mengendalikan kelab serta pasukan kebangsaan bagaimanapun, saya faham Liga Super adalah sebuah liga yang mencabar.

“Walaupun begitu, saya positif kita mampu untuk kekal dalam liga seterusnya mencapai kedudukan lapan terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai harapan beliau terhadap pemain UiTM FC, Bernhardt berkata masih terlalu awal untuk menilai kerana beliau baru sahaja menyertai kelab itu sebagai ketua jurulatih.

Jelasnya, senarai pemain akan diputuskan pada pertengahan Januari dan selepas itu pihaknya akan mencari kelemahan dan kelebihan pemain serta mengadakan kem latihan pendek sebelum beraksi pada perlawanan pertama pada 29 Februari depan.

Sebelum menyertai UiTM FC, Bernhardt adalah Pengarah Pembangunan Teknikal Persatuan Bola Estonia pada tahun 2018 dan Jurulatih serta Pengurus kepada Fundacion Real Madrid Clinic.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 7:34pm
d