arena

Alonso mahu cipta sejarah di bumi Arab

Oleh AFP

PELUMBA Sepanyol, Fernando Alonso mahu mencipta sejarah sebagai juara dunia Formula Satu pertama menjuarai Rali Dakar apabila kejohanan 12 hari itu bermula di Arab Saudi esok.

Alonso yang menjuarai F1 bersama Renault pada 2005 dan 2006 salah seorang daripada 351 pelumba yang menyertai perlumbaan sejauh 7,500km yang berpindah dari Amerika Selatan ke Arab Saudi, kedua-dua venue jauh dari laluan asal pada 1979 di antara Paris dan ibu kota Senegal, Dakar.

Alonso dibantu juara lima kali motosikal, Marc Coma yang memandu Toyota akan bertanding dalam kategori kereta dalam misi muncul salah seorang pelumba terhebat sepanjang zaman.

Selain kejayaan di F1, pelumba berusia 38 tahun itu turut memenangi perlumbaan Le Mans 24 jam dan menjadikan Indianapolis 500 sasaran utama tahun ini.

Dia menyifatkan Dakar sebagai cabaran terbesar dalam kariernya tetapi Alonso bukan pelumba F1 pertama mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.

Pelumba Belgium, Jacky Ickx, pemenang lapan grand prix dan juara enam kali Le Mans menjuarai Dakar pada 1983 dan tempat kedua pada 1986 dan 1989 selain pelumba Perancis, Patrick Tambay yang muncul juara dua kali dalam 114 grand prix meraih tempat ketiga pada 1988 and 1989.

Namun berdasarkan keadaan laluan yang sukar, Alonso tetap enggan terlalu yakin untuk meraih kejuaraan dengan mengambil contoh juara rali dunia sembilan kali, Sebastien Loeb gagal melakukannya apabila berlumba di Dakar. Loeb menang 13 peringkat tetapi hanya menduduki tempat kedua pada 2017 dan ketiga 2019.

"Jika Loeb masih gagal menang di Dakar, apatah lagi saya,” kata Alonso kepada RTVE.

"Saya fikir sasarannya ialah lebih membiasakan diri dengan rali dan meraih pengalaman.”

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 7:48pm
d