arena

Boleh cabar tuntut hak

Oleh Firdaus Hashim

KETIKA ramai pemain tempatan mengganggap usaha bagi mendapatkan tunggakan gaji dilihat ibarat menanti buah yang tidak gugur, sebenarnya mereka masih mempunyai talian hayat untuk menuntut hak dengan mencabarnya menggunakan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Undang-Undang Sukan dan Governans dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Jady Zaidi Hassim berkata, majikan atau mana-mana presiden kelab bola sepak ingkar sebenarnya boleh diheret ke mahkamah dengan menggunakan kaedah Right To Livelihood yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jady yang turut bertanggungjawab ketika mula-mula merangka penubuhan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) 10 tahun lalu mengakui, pemain masih memiliki jalan untuk menuntut gaji mereka meskipun pasukan atau kelab yang diwakili sudah menutup operasi.

Katanya, setiap badan sukan sudah mempunyai statut sendiri bagi menangani isu tunggakan gaji.

Malah, menerusi Akta Sukan Negara Seksyen 23 turut menyatakan kuasa untuk sebarang pertikaian atau perbicaraan isu-isu berbangkit perlulah diselesaikan secara dalaman mengikut prosedur yang digariskan.

“Sebenarnya ada satu undang-undang yang melindungi kita sebagai rakyat Malaysia iaitu Perlembagaan di bawah Right To Livelihood yang bermaksud mendapatkan kehidupan sejahtera.

“Dalam definisi inilah yang gagal pemain atau persatuan faham. Maksud Livelihood adalah kehidupan di mana setiap rakyat Malaysia akan dilindungi oleh Perlembagaan bagi mendapatkan kesejahteraan. Ini bermakna sepatutnya pemain bola sepak boleh mencabar definisi ini bagi mendapatkan hak mereka berkenaan tunggakan gaji ke atas bekas majikan atau individu yang gagal membayar.

“Ia kerana, apabila kita tak dapat gaji, sudah tentu kehidupan juga terganggu dan rosak, akibat ketiadaan duit yang sepatutnya dibayar oleh majikan. Akibatnya kehidupan pemain tidak sejahtera, mungkin rumah kena tarik, kereta kena tarik, isteri tinggalkan suami dan juga mungkin ada yang terpaksa tidur di bawah jambatan sebab tiada wang dan sebagainya hingga ada yang mungkin bunuh diri ekoran masalah kehidupan.

“Apabila kita bawa isu Livelihood, undang-undang lain semuanya akan jadi nombor dua seperti akta pekerja, statut pemain dalam bola sepak ataupun kontrak pemain sebab perlembagaan adalah undang-undang paling tertinggi negara kita ini,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif di pejabatnya di sini, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro mengenai isu tunggakan gaji, beratus rungutan dan keluhan diluahkan sama ada pemain mahupun jurulatih Liga Malaysia (Liga-M) yang menuntut tunggakan gaji yang masih gagal dilunaskan biarpun sudah melaporkan kes berkenaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Paling menyedihkan, apabila ada sesetengah kes yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM dilihat tidak memberi sebarang kesan apabila tetap degil dan enggan membayar tunggakan terbabit.

Malah, ada juga kelab yang lari daripada tanggungjawab apabila menutup pasukan seperti Hanelang FC, Marcerra United dan Perlis FC yang menyaksikan bekas pemain terpaksa menggigit jari apabila tidak menerima apa-apa pembayaran gaji mereka.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 6:01am
d