arena

Penyerang Guingamp maut nahas

Oleh Reuters

PENYERANG Guingamp Nathael Julan maut dalam nahas jalan raya pada usia 23 tahun, umum kelab Ligue 2 itu dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

“L'En Avant Guingamp kini berkabung,” kata kelab itu.

“Kelab ini menerima dengan pedih kematian pemainnya Nathael Julan akibat kemalangan.

“Pada hari yang tragis ini, seluruh anggota kelab ini bersama-sama meluahkan salam takziah kepada keluarga Nathael.”

Tiada sebarang maklumat terperinci diberikan. Media Perancis termasuk laman web L'Equipe, berkata dia maut dalam nahas jalan raya selepas sesi latihan.

Julan dibesarkan di Le Havre di mana dia membuat penampilan sulung sebagai pemain profesional Ligue 2 pada 2015.

Dia kemudiannya membuat 42 penampilan bersama Le Havre, menjaringkan sembilan gol sebelum menyertai Guingamp pada Januari 2018 ketika mereka berada di Ligue 1.

Dia membuat 10 penampilan di liga utama sebelum dipinjamkan ke Valenciennes Januari tahun lalu sebelum kembali ke Guingamp pada Jun. Guingamp tersingkir ke Ligue 2 musim lalu.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 8:44am
d