arena

Jadual padat rugikan pasukan: Klopp

Oleh AFP

PENGENDALI Liverpool Juergen Klopp terus lantang mahu melindungi pemainnya daripada keletihan selepas mendakwa jadual perlawanan musim perayaan yang padat di England, sesuatu yang buruk untuk sukan itu.

Klopp adalah antara pengurus Liga Perdana Inggeris yang kecewa dengan tuntutan kejohanan bola sepak England terhadap pasukan liga utamanya dan ‘selera besar’ pihak televisyen untuk menyiarkan perlawanan itu.

Liverpool kini hanya mempunyai 12 pemain senior yang cergas selepas sejumlah pemain cedera sejak beberapa minggu ini, manakala bintang Tottenham, Harry Kane koyak otot hamstring pada Tahun Baru dan Newcastle kehilangan empat pemain dalam satu perlawanan.

Klopp percaya jurulatih dan penggiat bola sepak wajar terbabit dalam perbincangan dengan badan induk bola sepak dan syarikat televisyen bagi memastikan jalan penyelesaian mampu dicari.

“Saya beritahu apa yang saya katakan kepada UEFA secara peribadi, saya beritahu FIFA kadang kala dalam wawancara kerana saya tidak kenal sesiapa di sana dan saya tidak fikir Liga Perdana Inggeris, FA Inggeris atau Liga Bolasepak wajar meragui pandangan saya,” kata Klopp.

“Saya hanya lakukannya bukan untuk saya tetapi saya fikir seseorang perlu bercakap bagi pihak pemain.

“Jika anda ada teman baik dan anda melihatnya dua kali setahun, baguslah. Ia detik terbaik dalam hidup. Jika anda melihatnya setiap hari anda akan terfikir selama lima hari ‘apa sudah jadi?’.

“Namun apa yang kita lakukan adalah membaling bola kepada orang ramai. Berapa banyak perlawanan pada Hari Boxing. Mungkin ada segelintir orang yang menonton siaran langsung.

“Saya tidak fikir ia bagus untuk hubungan mereka. Ia tidak bagus untuk saya dan saya sudah melihat terlalu banyak perlawanan bola sepak.”

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 9:30am
d