arena

'Bukan mudah jadi nombor satu'

Oleh AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia Angelique Kerber sedar mengenai tekanan untuk memulakan musim sebagai pemain yang mahu ditewaskan semua, namun yakin Ashleigh Barty mampu memenuhi cabaran itu.

Pemain Australia itu cemerlang tahun lalu dengan menjuarai Terbuka Perancis dan Kejohanan Akhir WTA di mana dia mengukuhkan kedudukannya di puncak ranking dunia.

Kedua-dua Angelique dan Ashleigh bersama-sama bekas pemain nombor satu dunia Naomi Osaka memulakan kempen 2020 di Kejohanan Antarabangsa Brisbane bermula Isnin ini.

“Dia sentiasa menjadi pencabar yang hebat. Pemain yang hebat, wanita yang hebat dan saya benar-benar bangga dengannya apabila dia mencapai ranking tertinggi,” kata pemain Jerman itu mengenai Ashleigh.

“Dia menunjukkan sepenuh kesungguhan dan bekerja keras. Memang sukar memulakan tahun sebagai pemain nombor satu dunia tetapi saya fikir dia mampu menangani situasi itu.”

Angelique mengetahui sedalam-dalamnya mengenai perjuangan untuk mempertahankan kejayaan musim sebelumnya.

Selepas menjuarai Grand Slam pada 2016 dan 2018, dia bergelut untuk mengulangi pencapaiannya pada tahun berikutnya.

“Saya cuba menikmatinya tetapi anda perlu menyesuaikan sedikit jadual anda berbanding jika anda pemain nombor 20 atau 30 dunia,” katanya.

“Anda mahu menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan, setiap tahun, kerana biarpun anda memenangi Grand Slam, semua orang akan cuba menewaskan anda.”

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 11:50am
d