arena

TFC uji kemampuan di Thailand

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) merangka siri jelajah ke Thailand pada awal bulan depan sebagai aksi pemanas badan sebelum 'bertempur' dalam saingan Liga Super yang dijadual bermula pada 28 Februari ini.

Bagaimanapun, sebelum skuad bimbingan Nafuzi Zain dan Subri Sulong itu mengasah taji di negara Gajah Perang itu, sekurang-kurangnya tujuh aksi pemanas badan dirancang untuk skuad Penyu menjelang sepak mula Liga Super 2020.

Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, skuadnya akan bertemu juara Liga M3 musim lalu, Kelantan United di laman sendiri pada Jumaat depan.

Selepas pertemuan berkenaan, naib juara Piala Malaysia 2018 itu akan berkunjung ke Lembah Klang bagi menguji wakil Singapura, Hougang United, juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC dan skuad Liga Perdana, Kuala Lumpur.

"Persiapan rapi sedang dilakukan untuk mencari perlawanan berkualiti bagi memperkemaskan aspek kecergasan dan persefahaman pasukan.

"Berdasarkan sesi latihan, pemain-pemain semakin menunjukkan peningkatan berbanding hari pertama dan setakat ini saya begitu berpuas hati dengan komitmen mereka," kata Nafuzi.

Sebelum ini TFC sudah pun mengadakan tiga aksi persahabatan bertemu TFC II yang berkesudahan seri tanpa jaringan, seri 3-3 bertemu Kelantan dan terakhir membelasah pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 10-0.

Musim ini skuad Penyu berwajah baharu apabila menggugurkan 12 bekas pemain sebelum mengikat tiga import baharu iaitu penyerang, Dominique Da Sylva dari Mauritania, Barbacar Diallo dari Senegal dan pemain sayap dari Singapura, Faris Ramli.

Selain itu skuad Penyu membawa masuk bekas kapten Perak, Nasir Basharuddin, bekas pemain Selangor, Mohd Faiz Nasir, Arif Fadzillah Abu Bakar dari Felda United dan bekas pemain Johor Darul Ta'zim II, D Saarvindran.

Skuad itu juga dijangka mengikat pemain naturalisasi yang juga bekas pemain PDRM musim lalu, Stuart Wark selain mengekalkan dua arkiteknya, Lee Tuck dari England dan pemain tengah Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 6:18pm
d