arena

Azzurri mampu gegar Euro 2020

Oleh Agensi

FEDERICO Chiesa yakin Itali mampu mencabar gergasi Eropah lain di Euro 2020.

Itali diundi dalam Kumpulan A bersama Turki, Wales dan Switzerland dengan venue perlawanan di Stadio Olimpico di Rome.

Skuad Azzurri menang semua 10 aksi kelayakan dan kebal 14 perlawanan sejak tewas 0-1 kepada Portugal dalam aksi Liga Negara-Negara pada September 2018.

Chiesa yang menjaringkan gol pertama antarabangsanya ketika membelasah Armenia 9-1 pada November lalu sedar cabaran sengit Euro 2020 tetapi tetap yakin Itali mampu meninggalkan impak di kejohanan itu.

"Memang banyak pasukan kuat. Perancis yang menjuarai Piala Dunia 2018 memang hebat, Portugal pula dengan Cristiano Ronaldo, jadi ia pasti sukar untuk menjuarainya,” kata Chiesa dalam laman web Fiorentina.

"Saya rasa kami skuad yang sangat kuat dengan jurulatih fantastik. Roberto Mancini banyak mengajar kami terutama cara bermain dengan banyak memegang bola dan berintensiti tinggi.

"Permainan kami bertambah bagus berdasarkan keputusan kami perolehi. Kemenangan dalam aksi kelayakan menunjukkan tahap kami dan mampu mencetuskan impak di Euro."

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 12:26am
d