arena

Drop Shot: Perubahan perlu menyeluruh

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

TEKA-TEKI siapa pemain yang bakal disingkirkan untuk memastikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaksanakan Projek 24 akhirnya terjawab.

Seramai tujuh pemain disingkirkan iaitu tiga pemain perseorangan, Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Ziyad Md Tah serta masing-masing beregu lelaki dan wanita iaitu, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Lim Peiy Yee-Lim Chiew Sien.

Dalam semua barisan pemain yang disingkirkan itu, saya memang terkejut dengan pemilihan Joo Ven, Jia Wei serta sudah tentu Ee Yi-Yew Sin.

Bukan mahu mempertikaikan keputusan BAM, tetapi saya ingin tahu apakah faktor utama kepada penyingkiran mereka?

Saya fikir baik Joo Ven, Jia Wei dan beregu lelaki negara wajar diberi masa untuk membuktikan kemampuan mereka.

Benar mereka mungkin dilihat tidak menunjukkan peningkatan tetapi ia tidaklah terlalu buruk. Saya percaya kumpulan pemain ini mampu menyerlah di pentas antarabangsa terutama sepanjang tahun ini.

Malah Ee Yi-Yew Sin sendiri masih mempunyai peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, keputusan sudah dibuat dan mereka semua perlu menerimanya. Namun jika alasan BAM mahu meremajakan skuad negara demi Projek 24, mengapa ada juga pemain senior yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan tetap dikekalkan.

Jangan pula alasan yang diberikan nanti hanya kerana pemain itu yang terbaik di negara ini sekali gus tiada pilihan lain.

Bagi saya, jika mahu melakukan perubahan, maka lakukan secara menyeluruh. Kepada pemain yang disingkirkan, saya berharap anda tidak berputus asa. Memang benar berstatus pemain profesional dengan bergerak sendiri adalah sukar. Namun mungkin itu harga yang perlu anda bayar dalam menempuh kejayaan lebih besar.

Jumpa lagi.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 6:40am
d