arena

The Fighters uji KL, Svay Rieng FC

Oleh Asrol Awang

DUA aksi persahabatan diyakini menjadi pentas terbaik bagi menilai prestasi semasa pemain FELDA United FC selepas sebulan menjalani latihan bagi persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebagai aksi pemanas badan, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil itu akan bertemu Kuala Lumpur Selasa ini, sebelum menentang juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC pada 11 Januari ini.

Namun, Mohd Nidzam akan memberi lebih peluang kepada pemain baru kelab itu apabila bertemu The City Boys sebagai pendedahan untuk tampil lebih yakin.

"Kemungkinan saya hanya menyenaraikan dua import pada perlawanan itu kerana kami ada satu lagi perlawanan bertemu kelab Kemboja.

"Oleh itu saya mengharapkan peluang yang diberikan ini dapat diterjemahkan dengan prestasi positif di kalangan pemain muda.

"Memang benar keputusan perlawanan itu perlu diambil kira tetapi fokus saya ialah mahu pemain yang kali pertama beraksi di Liga M dapat menyesuaikan diri," katanya.

Mengulas kem motivasi yang diadakan di Sungkai, Perak baru-baru ini, beliau berpuas hati dengan komitmen yang diberikan semua pemain dan barisan kejurulatihan serta pengurusan kelab yang memberi komitmen tinggi.

Katanya, kem selama tiga hari itu dapat merapatkan hubungan antara pemain senior dan junior termasuk import.

"Dengan komitmen dan keyakinan ini, saya percaya mereka akan lebih mengenali dengan lebih dekat," katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 6:47pm
d