arena

Piya lega tunggakan gaji dilunas

Oleh BERNAMA

TEAM Red Warriors Sdn Bhd yang ditubuhkan untuk menguruskan pasukan Kelantan musim ini bersetuju untuk melunaskan tunggakan gaji bekas kapten pasukan Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi secara ansuran.

Pengarah Urusannya Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pemain itu di Kota Bharu, hari ini.

“Bayaran secara ansuran itu membuktikan komitmen pihak kami dalam melunaskan semua tunggakan hutang lapuk yang menyebabkan imej KAFA terus terjejas.

“Sebagai permulaan, kami lunaskan sebahagian bayaran tunggakan gaji bekas kapten The Red Warrrios menggunakan wang hasil jualan tiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Badhri kecewa selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih belum menghubunginya bagi membincangkan mengenai tunggakan gaji yang berjumlah lebih RM250,000.

Wan Rakemi berkata pihaknya berterima kasih kepada pemain itu kerana sudi berbincang dan bersetuju dengan kaedah bayaran ansuran yang telah dicadangkan oleh Team Red Warriors Sdn Bhd.

Beliau berkata selain Mohd Badhri, Team Red Warriors Sdn Bhd juga akan melangsaikan sebahagian tunggakan hutang lapuk membabitkan bekas penjaga gawang Khairul Fahmi Che Mat.

“Khairul Fahmi bersetuju dengan pelan pembayaran yang telah dikemukakan oleh Team Red Warriors Sdn Bhd dengan menggunakan sepenuhnya hasil keuntungan jualan tiket aksi pra-musim Kelantan menentang Kedah bagi melangsaikan sebahagian daripada hutang melibatkan bekas kedua-dua tonggak itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 11:46pm
d