arena

Ancelotti hairan kekalahan Everton

Oleh AFP

PENGENDALI Everton Carlo Ancelotti merancang mengadakan inkues segera terhadap kekalahan memalukan kepada skuad remaja Liverpool dalam saingan Piala FA.

Skuad Ancelotti mensia-siakan peluang keemasan untuk menang di Anfield buat kali pertama sejak 1999 ketika pemain berusia 18 tahun Curtis Jones memacu Liverpool untuk kemenangan 1-0 pada pusingan ketiga awal pagi tadi.

Jones, pemain kelahiran Liverpool yang juga graduan akademi remaja kelab itu turut disertai empat pendatang baru dalam barisan pemain Juergen Klopp.

Klopp membuat sembilan pertukaran, menurunkan skuad utama bernilai £43.9 juta (RM235.9 juta) manakala pasukan Everton dianggarkan bernilai £222 juta (RM1.19 bilion).

Ancelotti menurunkan pasukan terkuat mereka namun mensia-siakan peluang pada separuh masa pertama sebelum longlai pada separuh masa kedua.

Everton yang tidak pernah menewaskan Liverpool sejak 2010, menjadikan pertembungan Merseyside ini pengalaman pahit pertama buat bekas pengendali Napoli Ancelotti, yang sedia membincangkan aksi hambar itu bersama pemain.

“Saya tidak biasa bercakap dengan pemain selepas perlawanan tetapi saya akan bercakap dengan mereka mengenai perkara ini,” kata Ancelotti.

“Kegagalan kami menjaringkan gol pada separuh masa pertama menjejaskan aksi pada separuh masa kedua, ia tidak cukup bagus.”

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 10:04am
d