arena

Atlet negara tak jadi ke Tehran

Oleh Aida Adilah Mat

DEMI keselamatan atlet negara, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memutuskan untuk membatalkan penyertaan lima atlet negara ke Kejohanan Dalam Dewan Dahe Fair di Tehran, Iran yang sepatutnya berlangsung Khamis ini.

Atlet terbabit adalah Luqmanul Hakim Khairul Akmal (400m), Andre Anura Anuar (lompat kijang), Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh), Khairul Hafiz Jantan (pecut 60m) dan Norliyana Kamaruddin (heptatlon).

Keputusan itu diambil selepas jawatankuasa tertinggi bermesyuarat dan bersetuju tidak membenarkan mereka bertanding selepas Kedutaan Malaysia di negara Asia Barat berkenaan tidak dapat memberi jaminan soal keselamatan jika rakyat Malaysia berkunjung ke sana.

Ia susulan konflik ketenteraan di antara negara berkenaan dan Amerika Syarikat (AS). Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil mengesahkan perkara itu selepas atlet lompat tinggi Lee Hup Wei terlebih dulu membuat keputusan menarik diri.

Beliau berkata, KOM tidak mahu mengambil risiko yang akan memberi kesan kepada atlet di kemudian hari.

“Memang pada mulanya KOM memberi lampu hijau untuk atlet ke Iran tapi selepas bermesyuarat pagi tadi, kami memutuskan untuk menarik balik keputusan itu.

“Keputusan itu tepat kerana ia membabitkan keselamatan atlet negara,” katanya yang memaklumkan barisan atlet berkenaan berkemungkinan akan meneruskan perjuangan di Kejohanan Dalam Dewan Asia di Hangzhou, China pada 12 hingga 13 Februari ini.

Ia disifatkan tindakan wajar kerana kejohanan berkenan tidak menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang mana tarikh akhir atlet melayakkan diri adalah pada 29 Jun ini. Konflik membabitkan kedua-dua negara itu tercetus apabila AS melancarkan serangan sehingga mengorbankan komander tentera Iran, Qaseem Soleimani sebelum mencetuskan kemungkinan tindak balas.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 6:06pm
d