arena

Misbun tetap 'sifu' terbaik - Chong Wei

Oleh Ferzalfie Fauzi

BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui Datuk Misbun masih lagi jurulatih terbaik pernah dikenali dan menganggap seperti bapanya sendiri.

Menurut Chong Wei, walau di manapun Misbun diletakkan di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau tetap memberi sokongan padu serta menganggap siapa

berada di bawah bimbingan pemain legenda itu sebagai individu paling bertuah.

"Beliau seperti ayah saya, tidak kisah di mana beliau berada saya sentiasa memberi sokongan. Beliau pemain dan jurulatih bertaraf legenda. Kami sentiasa berjumpa untuk berbincang hal berkaitan peribadi," katanya ketika ditemui di Arena Axiata hari ini.

Ujar Chong Wei, jika Misbun menjadi jurulatih di peringkat remaja sekali pun, bekas jurulatihnya itu akan sentiasa mencari pemain berbakat.

"Kita tidak pernah lupa jasanya mendidik bekas pemain seperti Rashid Sidek, Roslin Hashim, Hafiz Hashim dan saya sendiri. "Letak saja beliau di mana sekali pun beliau tetap paling terbaik. Kami mempunyai pertalian darah sama iaitu demi badminton negara. Siapa berada di bawah bimbingannya sangat bertuah. Didikannya kepada pemain remaja diterapkan dengan penuh berdisiplin," katanya.

Ditanya mengenai BAM menyingkirkan tujuh pemain baru-baru ini, Chong Wei menasihati kesemua individu berkenaan agar jangan putus asa.

"Saya tidak boleh komen mengenai isu ini kerana ia keputusan pihak pengurusan (BAM). Siapa digugurkan diharap tidak berputus asa. Mungkin BAM mengeluarkan penyelesaian siapa yang bagus di peringkat antarabangsa dipertimbangkan akan masuk semula.

"Mereka yang digugurkan masih ada peluang untuk kembali berjuang dan tidak kisah di dalam atau luar BAM, mereka masih lagi mewakili negara," katanya.

Tujuh pemain yang disingkirkan sebelum ini ialah Soong Joo Ven, Tan Jia Wei, Ziyad Md Tah (perseorangan lelaki), Ong Yew Sin, Teo Ee Yi (beregu lelaki), Lim Peiy Yee dan Lim Chiew Sien (beregu wanita).

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 8:22pm
d