arena

'Macam jumpa doktor gigi'

Oleh AFP

PENGENDALI Arsenal Mikel Arteta menyifatkan aksi menentang skuad kendalian Marcelo Bielsa Leeds United seperti kunjungan menakutkan berjumpa doktor gigi apabila pasukannya bangkit sebelum menang pusingan ketiga Piala FA 1-0 awal pagi tadi.

Leeds mengawal bola sepanjang dua pertiga awal permainan dan membuat 15 percubaan berbanding tiga buat Arsenal tetapi gagal menjaringkan gol ketika panjaga gol gantian Emiliano Martinez dan palang menjadi ‘penyelamat’.

Kemampuan pendahulu Liga Kejuaraan Leeds melakukan asakan di bawah jurulatih berpengaruh Argentina, yang dikenali dengan gaya permainan ‘Bielsa-ball’ menyebabkan Arsenal tidak senang duduk.

“Mimpi ngeri untuk setiap pasukan. Bermain menentang mereka amat menyakitkan seperti berjumpa doktor gigi. Ia mencabar. Mereka pasukan yang hebat dan skuad mereka begitu bertenaga,” kata Arteta.

“Jika anda tidak bersedia untuk Leeds, anda akan dibolosi.”

Arteta naik angin dengan prestasi Arsenal pada separuh masa pertama hingga beliau terpaksa berleter ketika rehat separuh masa dan pendekatannya menjadi apabila pasukan menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua.

“Kami perlu bangkit. Perubahan terbesar adalah betapa agresifnya kami, mara ke hadapan dan menjadi lebih positif,” kata Arteta selepas perlawanan di mana Arsenal mendapat kelebihan hasil jaringan Reiss Nelson 10 minit seawal separuh masa kedua.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 9:08am
d