arena

Piala FA makin suram?

Oleh AFP

PUSINGAN ketiga Piala FA biasanya mendapat tumpuan dalam kalendar bola sepak Inggeris namun hujung minggu yang dibayangi tempat duduk kosong dan rombakan pasukan besar-besaran memberi isyarat piala itu kini semakin hilang tarikan.

Selepas mengharungi jadual padat musim perayaan, yang menyaksikan empat pusingan Liga Perdana Inggeris ‘disumbat’ dalam tempoh 13 hari di antara Krismas dan Tahun Baru, pengurus daripada 20 pasukan utama membuat sejumlah 136 pertukaran.

Crystal Palace, Brighton dan Aston Villa menjadi antara skuad Liga Perdana yang menerima padah merehatkan skuad utama mereka menentang pasukan Liga Kejuaraan dengan kebanyakan pasukan di bawah mereka melakukan penggiliran pemain.

Sebanyak 24 kelab Liga Kejuaraan membuat 171 pertukaran terhadap skuad utama mereka.

Ramai peminat mengambil peluang untuk berehat daripada aktiviti berkaitan bola sepak hujung minggu lalu dengan kedatangan untuk kelab Liga Perdana dan Liga Kejuaraan turun sehingga lebih 150,000 penonton untuk perlawanan di laman sendiri.

Cardiff berjaya mengelak daripada mencatat kedatangan terendah sejak berpindah ke Stadium Cardiff City sejak sedekad lalu yang berkapasiti 33,000 penonton.

Hanya 5,828 penyokong menyaksikan perlawanan menentang Carlisle yang berkesudahan 2-2 dengan hanya satu daripada empat zon penyokong dibuka.

“Saya fikir jumlah perlawanan dalam jadual ketika ini menjadikan sukar buat penyokong untuk menyokong setiap perlawanan,” kata pengendali Cardiff Neil Harris.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 10:20am
d