arena

Mane pemain terbaik Afrika

Oleh AFP

BINTANG Liverpool Sadio Mane dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2019 buat kali pertama dalam sebuah majlis anugerah di Mesir.

Penyerang Senegal berusia 27 tahun itu bersaing sengit dengan rakan sepasukan Liverpool Mohamed Salah, pemain Mesir yang memenangi anugerah itu selama dua tahun sebelum itu dan pemain Algeria Riyad Mahrez dari Manchester City.

“Saya benar-benar gembira dan pada masa sama saya bangga memenangi anugerah ini,” kata Mane dalam majlis anugerah yang dianjurkan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) di bandaraya pesisir Laut Merah, Hurghada.

“Ia hari yang besar bagi saya.”

Mane menjadi bintang kedua dari Senegal yang menerima anugerah Pemain Terbaik Afrika selepas El Hadji Diouf, yang muncul pemain terbaik benua itu pada 2001 dan 2002.

Dia menjaringkan 34 gol dan membantu 12 jaringan dalam 61 aksi sepanjang 2019, menurut statistik CAF.

Salah pula mengumpul 26 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 55 perlawanan manakala Mahrez mengumpul 14 gol dan 18 bantuan jaringan dalam 48 perlawanan disertainya tahun lalu.

Pemain Senegal itu turut berkongsi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris 2018/19 bersama Salah dan pemain Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang dari Gabon.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Senegal. Mereka sentiasa bersama saya sepanjang masa, memberi dorongan kepada saya,” kata Mane, menyampaikan penghargaannya kepada penduduk kampung halamannya di Bambali.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 9:25am
d