arena

'Maaf pak, tak sengaja'

Oleh Reuters

STEFANOS Tsitsipas berkata dia tidak bermaksud untuk memukul bapa dan pengurusnya Apostolos dengan hayunan raket ketika perlawanan berlangsung dalam keadaan tegang di mana dia tewas kepada pemain Australia Nick Kyrgios dalam Piala ATP.

Pemain Greece berusia 21 tahun, di ranking keenam dunia tewas 7-6(7) 6-7(3) 7-6(5) dan meluahkan kekecewaannya selepas gagal memenangi tiebreak set pertama di mana dia menghayun raket dua kali berhampiran bangku pasukan, di mana hayunan kedua menyebabkan lengan bapanya luka.

Apostolos segera bangkit daripada kerusinya dalam keadaan terkejut dan meluru ke tempat duduk pasukan Greece manakala Tsitsipas yang ditolak satu mata dan diberi amaran oleh umpire, dileteri ibunya Julia Apostoli.

“Ia berlaku tanpa disengajakan. Saya tidak bermaksud melakukannya dan ia berlaku begitu saja tanpa saya sedari,” kata Tsitsipas.

“Ia berlaku, saya tidak bermaksud melakukannya. Malangnya, semuanya bagai hilang kawalan.”

“Mungkin saya akan berkurung di bilik selama tiga hari, didenda ayah saya,” katanya sambil ketawa.

Kyrgios, yang biasa dengan karenah di gelanggang, tidak melihat insiden itu tetapi berkata ia tidak seharusnya diberi lebih perhatian.

“Saya lakukan perkara bodoh juga dalam kejohanan jadi jelas sekali ia satu kemalangan,” katanya selepas kemenangan Australia 3-0 melonjakkan mereka di takhta kumpulan.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 11:29am
d