arena

Solskjaer cari jawapan selamatkan United

Oleh AFP

KEKALAHAN Manchester United di tangan Manchester City pada separuh akhir Piala Liga Inggeris menyaksikan mereka terdesak untuk merombak pasukan jika mahu menyelamatkan musim yang tidak menentu.

United melepaskan tiga gol pada babak pertama pada perlawanan di Old Trafford buat kali pertama sejak Mei 1997 awal pagi tadi ketika kalah 1-3 menentang anak buah Pep Guardiola pada aksi pertama.

Gol menakjubkan Bernardo Silva, penamat tenang Riyad Mahrez dan gol sendiri Andreas Pereira meletakkan City di landasan terbaik untuk melangkah ke final kali ketiga berturut-turut sebelum Marcus Rashford membalas satu gol bagi bekalan tipis aksi kedua pada 29 Januari ini.

Kekalahan itu satu lagi peringatan United kini semakin jauh ketinggalan daripada standard yang dicetus pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan juara bertahan City.

Pengurus Ole Gunnar Solskjaer menyatakan tiada jalan penyelesaian mudah ketika United cuba melonjak dalam kancah bola sepak Inggeris.

“Saya sudah katakan sebelum ini tidak mungkin ia boleh dibetulkan dalam masa singkat dan dua pasukan yang anda perkatakan itu mungkin dua daripada pasukan terbaik di dunia,” katanya.

“Itulah cabaran yang kami hadapi, ia sesuatu yang kami mulakan. Anda boleh lihat kami masih jauh ketinggalan tapi kami sudah memulakan sesuatu yang kami perlu lakukan.”

United menghasilkan beberapa persembahan mengagumkan musim ini – termasuk kemenangan 2-1 di City dalam liga musim ini, menang menentang Chelsea dan Spurs serta seri di laman sendiri dengan Liverpool.

Namun mereka bertindak buruk menentang pasukan yang dijangka mudah ditewaskan, kalah kepada Watford, Bournemouth, Newcastle dan West Ham sekali gus berdepan tugas getir untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 12:00am
d