arena

Villa cemerlang tanpa penyerang

Oleh Reuters

ASTON Villa berjaya menyerap tekanan berterusan apabila mempamerkan pertahanan kental untuk mengikat Leicester City 1-1 meskipun gagal menurunkan sebarang penyerang dalam aksi pertama separuh akhir Piala Liga awal pagi tadi.

Freddy Guilbert meletakkan Villa di depan menerusi percubaan pertama mereka pada minit ke-28 dan Leicester, di tangga kedua Liga Perdana Inggeris dan berharap mara ke saingan final piala pertama sejak 2000 memerlukan jaringan penyamaan Kelechi Iheanacho pada minit ke-74.

Perlawanan timbal balik bakal diadakan pada 28 Januari dengan pemenang akan bertemu sama ada Manchester City atau Manchester United pada perlawanan akhir.

Penyerang Leicester Jamie Vardy kembali menyertai pasukan itu selepas tidak beraksi tiga perlawanan akibat kecederaan betis manakala masalah kesihatan dialami penyerang Jonathan Kodjia menyebabkan Villa, di tangga ke-17 liga beraksi tanpa penyerang berwibawa.

“Kami tiada pilihan. Itu yang kami ada,” kata pengurus Aston Villa Dean Smith.

Percubaan Ayoze Perez tidak menjadi manakala penjaga gol Villa Orjan Nyland menafikan percubaan Vardy dengan lututnya dengan Leicester menguasai perlawanan tetapi pasukan pelawat lebih bertuah.

Gerakan yang dimulakan Jack Grealish diakhiri dengan hantaran Anwar El Ghazi ke gawang di mana Guilbert berjaya mengatasi Ben Chilwell untuk sepakan voli ke gawang.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 10:02am
d