arena

Bulot import kelima The Fighters

Oleh Asrol Awang

FELDA United FC melengkapkan kuota lima pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas menyenaraikan Frederic Bulot dari Gabon yang beraksi sebagai jentera tengah kelab itu.

Pengendali kelab, Mohd Nidzam Jamil berkata, kehadiran Bulot yang juga bekas pemain kelab Liga Bolasepak Jepun 2, Gifu FC musim lalu diyakini mampu memberi kekuatan.

"Pemilihan Bulot bukan sahaja dia boleh bermain di posisi tengah, malah turut bertindak selaku pembantu penyerang berdasarkan kebolehan dimiliki.

"Dengan pengalaman dimiliki pemain kelahiran Gabon ini di beberapa kelab luar negara, saya mengharapkan prestasi terbaik dapat diterjemahkan. Begitu juga empat lagi import yang diharapkan saling membantu pasukan ini mencatat keputusan terbaik dalam saingan Liga M musim ini," katanya.

Sebelum ini, The Fighters sudah menandatangi empat import iaitu Khairul Amri Kamal dari Singapura, Ryutaro Megumi (Jepun), Nicholas Velez (Argentina) dan Nikola Raspopovic (Serbia).

Mohd Nidzam turut mengesahkan Bulot akan membuat penampilan pertama apabila kelab itu bertemu juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC pada aksi persahabatan, Sabtu ini.

Katanya, dengan 30 pemain, termasuk lima import didaftarkan musim ini, beliau mengharapkan keputusan lebih baik diraih.

"Saya percaya tempoh kurang dua bulan sebelum Liga M bermula hujung Februari depan akan membentuk pasukan yang padu," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 4:38pm
d