arena

Beregu campuran mara ke suku akhir

Oleh Ferzalfie Fauzi

MENYEDARI persaingan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 semakin sengit, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai berasa lega mara ke suku akhir Masters Malaysia selepas mengalahkan Thom Gicquel-Delphine Delrue di pusingan kedua hari ini.

Soon Huat-Shevon mengambil masa 40 minit mengalahkan pasangan Perancis itu 21-16, 21-14.

"Persaingan ke Olimpik sekarang ini bukan hanya sengit di antara kami dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tapi beberapa pasangan dari negara lain. Kedudukan mata sangat dekat dan kami cuma untuk mengejar mereka," kata Shevon selepas aksi di Arena Axiata hari ini.” Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui mereka hanya fokus kepada prestasi sendiri berbanding pasangan lawan.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong yang sebelum itu menumpaskan wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-12, 21-9.

Peng Soon-Liu Ying pula mara ke suku akhir selepas mengalahkan Choi Solgyu-Shin Seung Chan (Korea Selatan) 21-13, 21-13 dan mereka akan menentang Takuro Hoki-Wakana Nagahara dari Jepun.

Bagaimanapun, perjalanan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berakhir selepas mereka kalah straight set di tangan pilihan utama dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 15-21, 11-21.

Turut menerima nasib sama ialah beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang kalah 20-22, 15-21 kepada Greysia Polli-Apriyani Rahayu (Indonesia).

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 9:33pm
d