arena

Yew Sin-Ee Yi puas benam pasangan China

Oleh Ferzalfie Fauzi

PASANGAN profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi seperti seakan membuktikan sesuatu apabila buat kali pertama berjaya menumpaskan Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong selepas tiga perlawanan.

Dalam aksi pusingan kedua Masters Malaysia hari ini, mereka berjaya mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-18 dan beraksi tanpa sebarang tekanan sejak baru saja disingkirkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Kita tengok balik permainan mereka dan sebelum ini mereka banyak memerangkap kita di depan jaring. Mungkin kami menang selepas menukar strategi, banyak bersabar dan main rali panjang," kata Yew Sin selepas perlawanan tamat di Arena Axiata.

Katanya, selepas mencatat dua kemenangan di Masters Malaysia, mereka mahu lebih banyak lagi kejayaan tapi perlu fokus peringkat demi peringkat.

"Jangan terlalu banyak berfikir dan semua perlawanan adalah sangat penting terutama untuk menarik penaja. Jika bermain dengan baik secara automatik penaja akan datang.

"Selepas ini banyak lagi kejohanan perlu disertai dan mungkin sedikit kurang dari segi kewangan serta perlu banyak belajar lagi," katanya.

Ditanya mengenai kehadiran bekas pemain beregu negara, Tan Boon Heong yang berada di belakang mereka, Yew Sin mengakui mereka masih lagi dalam perbincangan untuk melantik jurulatih sepenuh masa.

Sementara itu, Ee Yi, mengakui ia tidak banyak beza sama ada beraksi sebagai pemain profesional mahupun berada di bawah BAM.

"Bawah BAM atau tidak kita bermain untuk negara," kata pemain kelahiran Johor itu. Menanti mereka di suku akhir ialah Kim Gi Jung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan yang sebelum itu mengejutkan pilihan keempat dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 10:05pm
d